Sunday, 1 November 2015

tazkirah-keluarga


 TAZKIRAH"
KELUARGA adalah asas yang paling kecil dalam pembentukan sesebuah masyarakat, manakala masyarakat yang baik akan membentuk bangsa dan negara yang kuat dan sejahtera. Keluarga yang kuat dari segi akidah, pendidikan dan ekonomi akan menyumbang kepada kehidupan masyarakat yang aman dan sejahtera. Oleh itu, pendidikan kekeluargaan sangat penting dalam Islam.

Islam sangat mengharapkan ibu bapa yang mempunyai keluarga, terutama keluarga yang ramai dapat dididik dan dibentuk ke arah kesejahteraandunia dan akhirat.

Konsep pembentukan keluarga bahagia mesti bermula daripada pendidikan dan bimbingan daripada ibu bapa yang bertanggungjawab dalam hal pendidikan anak-anak.

Tujuan pendidikan dalam al-Quran adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, menjauhi syirik kepada-Nya, mensyukuri nikmat-Nya, bertakwa, bertawakal membentuk insan soleh, menegakkan amar makruf nahi mungkar, mewujudkan kemakmuran di muka bumi dan kebahagiaan hidup.

Pendidikan bermula dari rumah iaitu pendidikan anak-anak dan juga keluarga. Oleh itu, didiklah ahli keluarga dan juga anak-anak dengan pendidikan menurut al-Quran.

Ada pendapat mengatakan bahawa, keluarga adalah inti peradaban. Ini bermaksud pembentukan keluarga melalui pendidikan akan menyumbang kepada peradaban bangsa dan ummah pada masa akan datang.

Oleh itu, setiap ibu bapa berperanan penting membentuk keluarga bahagia dan kemudiannya menyumbang kepada peradaban bangsa.

Lantaran itu, pendidikan iman, akhlak dan amalan yang baik sangat penting diterapkan dalam kehidupan berkeluarga. Melalui pendidikan adab dalam Islam akan mencapai budi pekerti yang baik dalam kalangan ahli keluarga. Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak dalam ibadah yang menjurus kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Pendidikan anak-anak dan pembentukan keluarga yang beriman dan bertakwa adalah amanah kepada ibu bapa. (rujuk al-Anfal: 27-28)

Jelas bahawa, mendidik keluarga dan anak-anak adalah amanah yang besar. Dalam menjalani ujian ini telah dijanjikan pahala yang besar terutamanya dalam pengurusan harta dan juga pendidikan anak-anak. (rujuk al-Anfal: 75)

Dalam hubungan ini, hubungan kekeluargaan itu sangat penting. Asas pembentukan orang yang beriman adalah bermula daripada keluarga. Keluarga yang terdidik dengan iman dan takwa akan dapat mengelakkan api neraka.

Tokoh pendidikan, Khursid Akhmad menyatakan, jatuh bangunnya sesuatu umat bergantung pada jatuh bangunnya pendidikan kerana jalan utama bagi persiapan masa hadapan adalah pendidikan.

Pemimpin dalam keluarga, iaitu ibu bapa adalah pendidik yang mesti menjaga masa depan keluarga iaitu anak-anak daripada terjebak ke lembah kemaksiatan yang boleh mencampakkan mereka ke neraka.

Sikap tegas dan peranan penting ibu bapa dalam menangani persoalan pendidikan anak-anak yang bakal mewarisi generasi hari ini dan generasi akan datang. Ini mesti dilakukan dalam hal berkaitan akhlak dan adab anak-anak.
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Ibu bapa berperanan membentuk potensi diri mereka ke arah kebaikan. Pendidikan mestilah menjurus kepada pendidikan tauhid, ibadah, keimanan, akal, akhlak, budi pekerti, jasmani, rohani, keterampilan dan kemasyarakatan.

Ibu bapa mestilah mendidik anak-anak dengan bersikap adil, memahami jiwa anak-anak, tegas dalam hal berkaitan ibadah dan akhlak, kasih sayang, berdisiplin dan persamaan. Anak-anak mestilah dididik dengan keimanan yang kukuh dan mantap bagi menghadapi apa juga cabaran dalam hidup.

Imam Syafie pernah berwasiat iaitu benteng iman dengan lima kekuatan iaitu: "Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, perlulah dibaja keimanan dengan lima perkara iaitu yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah beramal, bertatasusila ataupun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah."..:)

No comments:

Post a Comment