Sunday, 5 October 2014

satu aqidah


BATASAN FARDU AIN DALAM ILMU TAUHID

Assalamu'alaikum warohmatullahi wabarokatuh

Saudara dan saudariku yang dikasihi Allah
Sering kita mendengar bahkan memperkatakaan perkataan Fardu Ain tapi tidak semua dari kita mengetahui apa itu Fardu Ain dalam Tauhid..? sebab itu izinkan saya yang dhoif ini untuk kongsikan sedikit perihal Fardhu Ain dalam ilmu Tauhid

Yang dimaksudkan dengan kewajipan dalam bentuk fardu ain ialah setiap orang diwajibkan mengetahui perkara akidah yang dapat mengeluarkan mereka daripada taklid (ikutan semberangan) kepada tahqiq (ikutan yang berdasarkan kepada dalil) walaupun dengan dalil yang ijmali (ringkas). Maka dengan mengetahui tentang Allah melalui dalil yang ijmali, sudah mengesahkan kesahihan akidah seseorang.

Contohnya seseorang yang apabila ditanyakan kepadanya dalil satu persatu bagi pembuktian setiap sifat yang dua puluh itu maka dia hanya mampu mengatakan baharunya alam ini atau ungkapan yang membawa pengertian seumpamanya. Hanya ungkapan ini sahaja yang mampu disampaikannya untuk membuktikan Allah Ta’ala bersifat dengan sifat-sifat wujud, qidam, baqa; hinggalah baki dua puluh sifat yang lain.

Maka kadar ini sudah memadai mengesahkan kesahihan akidah orang tersebut. Maka apabila seseorang mengetahui bahawa tanda adanya Allah ialah dengan adanya alam ini, atau baharunya alam ini bererti terkeluarlah orang itu daripada batasan taklid (ikutan sembarangan) kepada batasan tahqiq (ikutan yang berdasarkan kepada dalil).

Orang yang sebegini apabila ditanyakan kepadanya setiap satu dalil sifat dua puluh itu maka dia hanya dapat mengatakan dalilnya ialah alam ini, atau kewujudan makhluk ini, manakala selebihnya dia tidak mampu untuk menghuraikan secara panjang lebar serta tidak pula berupaya menolak kesamaran-kesamaran yang ditimbulkan berkaitan sifat-sifat tersebut.

Walaupun begitu ini bukanlah bererti seseorang yang beriktikad tentang Allah dan rasul-rasul-Nya dengan iktikad yang jazam (mantap) lagi betul tetapi hanya mengikut perkataan orang lain tanpa mampu memberikan sepatah dalil adalah dikira sebagai tidak beriman. Menurut pendapat yang muktamad di kalangan ulama Usuluddin orang yang begini imannya dikira sebagai sah, akan tetapi dia tidak selamat daripada terjerumus kedalam dosa.

Jika dia seorang yang mempunyai kelayakan untuk berfikir tetapi tidak menggunakan akalnya untuk mensabitkan dalai secara ringkas maka dia adalah mukmin yang bedosa. Lain halnya jika dia tidak mempunyai kelayakan berfikir, maka dia tidak dikira mukmin yang berdosa jika dia beriktikad dengan iktikad yang benar dan jazam (mantap) tetapi tidak mengehaui dalilnya.

Lain pula halnya orang yang jahil tentang ketuhanan dalam erti kata yang sebenar, maka mereka inilah dikira sebagai kafir. Dalam hal ini orang yang tidak mempunyai pengetahuan tentang ketuhanan dianggap sebagai kafir. Orang yang tidak mempunyai pengetahuan ini terbahagi kepada empat kategori :

1. Jahil.

Jahil terbahagi kepada dua, iaitu :

a. Jahil basit, iaitu seorang yang tidak mempunyai pengetahuan sama sekali seperti seseorang yang apabila ditanya kepadanya, adakah bagi Allah sekutu, maka dia menjawab : Tidak tahu.

b. Jahil murakkab, iaitu seorang yang menggangap dirinya tahu akan sesuatu padahal apa yang diketahuinya itu ternyata salah dengan realiti. Ia dinamakan jahil murakkab (tersusun) kerana tersusunnya dua kejahilan, iaitu apa yang diketahuinya itu sememangnya tidak betul, maka ini menunjukkan kejahilannya. Kemudian dia pula tidak mengetahui bahawa sebenarnya dia tidak mempunyai pengetahuan. Lantaran itu tersusunlah dua kejahilan (murakkab) pada dirinya. Mereka yang termasuk dalam kelompok ini ialah seperti sesetengah golongan ahli falsafah yang beriktikad bahawa alam ini qadim. Demikian juga orang Nasrani yang mengatakan Allah adalah salah satu daripada tiga Tuhan iaitu Tuahn Bapa, Tuhan anak, dan Tuhan Roh kuddus.

2. Syak.

Iaitu orang yang menganggap dua perkara yang berlawanan itu sama. Contohnya seorang yang menganggap kewujudan Allah itu mungkin benar dan mungkin salah.

3. Zan.

Iaitu orang yang berat pada hatinya akan pengetahuan yang benar, tetapi masih ada ruang yang ringan pada hatinya tentang pengetahuan yang salah.

4. Waham.

Iaitu orang yang berat pada hatinya akan pengetahuan yang salah, tetapi masih ada ruang yang ringan pada hatinya tentang pengetahuan yang benar.

Keempat-empat perkara yang disebutkan ini, jika menjadi asas kepada keimanan seseorang terhadap Allah , maka orang itu dikira tidak mempunyai iman. Dengan kata lain, jika seseorang beriktikad tentang Allah dan rasul-Nya dengan berdasarkan kejahilan, atau syak, atau zan, atau waham, maka orang itu belum layak disebut muslim

di kutif dari Aqidatun Naajiin fi ‘Ilmi Usuliddin,
Asy-Syeikh Zainul ‘Abidin bin Muhammad al-Fatani, hlm 6.

No comments:

Post a Comment