Sunday, 12 May 2013

Tsunami Cina PRU 13...?


Najib Tun Razak dalam akhbar Sinar Harian membuat kenyataan bahawa telah berlaku satu 'Tsunami Cina' dalam PRU13 ini. Ini akibat daripada sokongan bangsa cina terhadap Barisan Nasional jatuh merudum. Apabila kenyataan ini dibuat oleh seorang Presiden parti, makanya pasti ahli, penyokong dan pengikut parti akan mengikut rentak beliau menyebarkan perkara ini. Tidak kurang juga hebatnya akhbar dan media yang bakal turut memainkan isu ini.

Boleh jadi Najib Tun Razak tidak berniat memainkan isu perkauman, tetapi mereka yang dibawah ini pula mentafsirkan sebaliknya. Sebab itu, sebagai seorang pemimpin nombor 1 dalam parti perlu berhati-hati sewaktu berbicara. Kata-kata mereka itu punya pengaruh.


Kepada rakyat yang dibawah, hentikanlah bermain dengan isu perkauman ini. Cina juga rakyat Malaysia. Cina juga hamba Allah. Mengapa kita perlu caci maki mereka? Cina dan india adalah bangsa yang dicipta Allah.


Mereka ada rancangan jahat terhadap orang melayu? Sekiranya ada, pihak yang punyai maklumat ini perlu dedahkan bersama bukti. Bukannya terus menyemarakkan sentimen perkauman tanpa asas yang kukuh dimana akhirnya bakal merugikan negara ini.


Kita lihat Jepun dan Korea, mengapa mereka sentiasa bergerak pantas dalam arus kemajuan dan permodenan. Kerana mereka cuma punya satu bangsa. Sebab itu, dalam Malaysia ini perlukan satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia yang asasnya menghormati perlembagaan persekutuan. Tiada pergaduhan, tiada perbalahan dan tiada perpecahan. Makanya yang untung adalah negara ini.


Kita semua perlu ingat, cina dan india juga punya peranan dan jasa dalam mencorak kemajuan dalam negara ini. Tanpa mereka bukanlah mustahil bagi kita melayu untuk maju, tetapi kita tidak mampu menafikan sumbangan mereka terhadap kemajuan negara ini. Bukanlah kita diarah untuk balas budi cina dan india ini, tetapi cuma perlu hidup dalam suasana aman dan saling hormat menghormati.


Satu lagi isu, apabila cina tidak memberi undi yang banyak kepada Barisan Nasional. Janganlah kita claim mereka ini sebagai rasis dan tidak mengenang budi. Mengikut analisis, sokongan melayu kepada Barisan Nasional meningkat sedikit namun dalam masa yang sama masih ramai melayu yang tidak menyokong parti itu.


Rakyat berhak pilih siapa mereka mahu dalam pilihanraya. Sekiranya Barisan Nasional rasa rakyat yang tidak menyokong parti itu sebagai 'pengkhianat bangsa', makanya tidak perlu lagi adakan pilihanraya. Sebab pilihanraya diadakan adalah supaya rakyat diberi hak untuk 'memilih'. Sebagai sebuah negara yang demokrasi, sila laksanakan demokrasi yang sebenar.


Sekali lagi saya ingatkan, sekiranya ada bukti tentang rancangan jahat itu sila kemukakan segera. Buat laporan polis dan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-udang. Jangan lagi dah bermain dengan sentimen perkauman yang boleh menyebabkan negara ini huru hara. Sebarkan dan tuduh tanpa bukti dan asas yang kukuh, saya kira itu sebagai satu fitnah dan pihak berkuasa boleh ambil tindakan segera kepada mereka yang cuba menyemarakkan api perkauman yang akhirnya bakal merugikan seluruh isi negara ini.


Fikir-fikirkanlah.

No comments:

Post a Comment