Friday, 30 January 2015

SELAMAT HARI GURU KHASNYA GURU2 MITT


“UNTUNGNYA SEORANG GURU MITT….”
1. Beruntungnya seorang guru MITT apabila setiap pagi hidupnya bergerak menuju ke majlis zikir atau majlis ilmu lalu semakin hampirlah dia kepada syurga
ALLAH SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Barangsiapa yang menempuh satu jalan kerana menuntut ilmu maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga.
(Hadis Riwayat Muslim)

2. Beruntungnya seorang guru MITT apabila setiap hari dia berada di taman syurga lalu mendapat doa dari malaikat dan makhluk Allah yg lain memohon rahmat dan keampunan atas dirinya yang sentiasa berada di majlis ilmu.Lebih mulia lagi, dialah tonggak kepada majlis ilmu itu.Rasulullah SAW bersabda:

Apabila kamu melalui taman syurga , maka mengembalalah! “ Mereka bertanya, ‘Apa itu taman syurga , wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, ‘Majlis zikir. Allah memiliki malaikat-malaikat yang berjalan di muka bumi mencari majlis zikir. Apabila sudah menemuinya, mereka duduk mengelilinginya”
(Hadis diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a)

Sabda Rasulullah SAW:
Tidaklah satu kaum duduk untuk berzikir kepada Allah melainkan para malaikat akan mengelilingi mereka , rahmat menyelimuti mereka,ketenangan akan turun kepada mereka dan Allah menyebutkan mereka kepada malaikat yang berada di sisiNya.
(Hadis diriwayatkan di dalam Sahih Muslim)

3. Beruntungnya seorang guru MITT apabila namanya selalu disebut-sebut di dalam kumpulan para malaikat di langit atas kerana dirinya yg sentiasa berada dalam satu kumpulan yang ingat pada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

“Aku mengikut sangkaan hambaku kepadaku, Aku bersamanya (memberi rahmat dan membelanya) apabila dia mengingatiku. Jika mereka mengingatiku dalam dirinya, nescaya aku menyebutnya dalam diriku. Apabila mereka menyebut namaku dalam kumpulan nescaya aku menyebutnya dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka.Jika mereka menghampiriku sejengkal, aku mendekati mereka sehasta.Jika mereka menghampiriku sehasta aku mendekati mereka sedepa dan apabila mereka datang kepadaku dalam keadaan berjalan, aku datang kepada mereka berlari “
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Beruntungnya seorang guru MITT apabila dirinya setiap hari dikelilingi oleh hamba Allah yang bersih tidak berdosa iaitu anak-anak MITT.Kata-kata,gelak ketawa, jerit tangis mereka lahir dari hati yang ikhlas suci. Tiada rasa iri hati, hasad dengki dan dendam kesumat di antara mereka. Yang ada hanyalah keikhlasan, kesabaran dan kasih sayang.

5. Beruntungnya seorang guru MITT apabila setiap hari dia menanam pelaburan atau saham akhirat yang berkekalan walaupun setelah menghembuskan nafas terakhir iaitu apabila dia menyebarkan ilmu yang bermanfaat kepada anak-anak MITT dan diamalkan oleh anak-anak itu sepanjang hayat. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,Rasulullah SAW telah bersabda:

“Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (Hadis Riwayat Muslim).

“Barangsiapa yang menyeru kepada hidayah, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya dan itu tidak akan mengurangkan pahala mereka sedikitpun”
(Hadis Riwayat Muslim)

6. Beruntungnya seorang guru MITT apabila dikelilingi oleh insan-insan beriman dan suasana yang menggalakkannya untuk mengamalkan sepenuhnya tuntutan agama disaat ada muslimah lain terpaksa bertarung dengan peraturan atau suasana rakan sekerja yang tidak mendorong kearah rahmat Allah SWT. Contoh yang paling hampir ialah aurat , tabarruj dan pergaulan di tempat kerja.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “ Hendaklah mereka menahan pandangannya , dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung hingga ke paras dadanya …”
(Surah an-Nur: ayat 31)

7. Beruntungnya seorang guru MITT apabila dia dapat melaksanakan dua amal utama dalam satu masa (2 in 1) iaitu mencari rezeki yang halal dan terlibat dalam perjuangan fisabilillah secara langsung. Ini kerana MITT adalah salah satu cabang dakwah dan pendidikan dalam perjuangan gerakan Islam.

“Wahai orang yang beriman!Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”
(Surah Muhammad : Ayat 7)

Wahai guru , ikhlaskanlah hatimu dan teruskanlah kesungguhanmu , sudah pasti keuntungan ini menjadi milikmu.

SELAMAT HARI GURU 2014 – JASAMU DIKENANG DUNIA AKHIRAT

Nukilan Ikhlas Untukmu Guru MITT ....

No comments:

Post a Comment