Saturday, 11 May 2013

MB Kelantan

Satu artikel yang cukup baik memperkenalkan YAB Menteri Besar Kelantan, Dato' Ustaz Ahmad bin Yakob dari bekas Setiausaha Sulit Beliau Sendiri...

DATO’ AHMAD YAKOB YANG SAYA KENAL
Insan ini telah menjejak kaki ke kerusi nombor satu Kerajaan Kelantan selepas PRU13 dengan penuh cabaran dan sedikit rungutan, tidak sepertimana Tuan Guru Nik Aziz pada tahun 1990 dahulu. Bukan semua orang nampak, malah beliau sendiri melihat dan merasa betapa darjat dirinya jauh beza dengan Tok Guru umpama jarak dari puncak Everest dengan dasar laut di Mindanao. Inilah pengertian dari apa yang diucapkan oleh tuan empunya badan, Dato’ Ahmad Yakub kepada Tok Guru ketika diminta sebagai pengganti. MB.

Tujuan coretan ini adalah sekadar memberi sedikit pembetulan terhadap beberapa kekeliruan yang tersebar di media massa, laman sosial dan cakap-cakap yang mengaitkan perlantikan Dato’ Ahmad Yakub serta barisan EXCO Kerajaan Kelantan selepas PRU13. Ia dikatakan satu usaha misteri, “cah keting” dan usaha tergesa-gesa beliau merebut jawatan tersebut. Saya merasa hairan, kenapa kita tidak mendapatkan maklumat yang tepat dari Tok Guru mantan MB dan Datuk Seri Presiden PAS terlebih dahulu tentang perlantikan Dato’ Ahmad, sebelum membuat sebarang ulasan, kerana mereka berdua memang tahu dan terlibat. Begitu juga dengan senarai barisan EXCO yang memerlukan perkenan pihak Istana. Saya percaya banyak pihak dan ahli politik amat mengerti situasi ini, dan sejarah telah berlaku kepada Idris Jusoh di Terengganu dan Shahidan Kassim di Perlis pada tahun 2008 dahulu.

Berbalik kepada perlantikan Dato’ Ahmad Yakub sebagai MB, ada tuduhan mengatakan sebaik saja PAS mendapat kerusi majoriti selepas PRU13, beliau bergegas ke Istana untuk angkat sumpah sebelum jawatan MB diperolehi oleh orang lain. Tidakkah kita teringin untuk mengambil maklumat yang betul sebelum membuat tuduhan? Tahukah bahawa baginda Sultan perlu ditunjukkan surat perlantikan yang ditandatangani oleh Presiden parti terlebih dahulu sebelum menerima angkat sumpah? Adakah kita tahu bahawa Presiden menandatangani surat tersebut setelah mendapat cadangan dari Tok Guru? Inilah beberapa soalan yang mesti diperolehi jawapannya sebelum melontar pelbagai kenyataan. Dalam isu ini ada sesuatu yang dilihat sebagai double standard, Dato’ Ahmad sahaja yang menjadi sasaran tuduhan. Kenapa tidak turut dihalakan kepada Tok Guru dan Presiden yang memang bertanggung jawab dalam isu perlantikan beliau sebagai MB. Adakah kerana Dato’ Ahmad dikira seorang insan yang lemah, lalu beliau seorang sahaja yang menjadi sasaran?

Saya mula mengenali dan berkawan dengan Dato’ Ahmad Yakub sejak awal Januari 1987, sama-sama mengajar di SM Rantau Panjang. Untuk mengetahui peribadi, keikhlasan, kejujuran tawadhu’ dan amalan harian beliau boleh dirujuk kepada sesiapa yang pernah mengajar bersamanya termasuk Haji Ghazali Ismail, calon BN Parlimen Rantau Panjang pada PRU13 baru-baru ini. Selama enam tahun di sekolah tersebut saya sempat menjadi kawan rapat beliau kerana persamaan fikrah dan parti, sehingga dapat berkongsi menyelesaikan masalah keluarga, kewangan, rumahtangga dan perkahwinan saya.

Tahun 1995 ketika hampirnya PRU9, beliau memaklumkan kepada saya tentang tawaran pimpinan parti untuk calon DUN Pasir Pekan, dan pohon untuk beristikharah. Saya amat yakin bahawa beliau bukan meminta tetapi ditawarkan. Kemenangan dalam PRU9 itu memulakan karier beliau sebagai wakil rakyat, dan kami diberi peluang untuk meneruskan lagi persahabatan dan hubungan kerja kerana beberapa bulan kemudian saya meninggalkan profesyen perguruan kerana diterima ke jawatan Pegawai Tadbir Negeri. Dari hubungan seorang kawan, akhirnya menjadi pegawai beliau ketika beliau menjadi EXCO Kerajaan Tempatan dan saya menjadi PSU Kerajaan Tempatan. Terakhir ialah menjadi Setiausaha Sulit Kanan beliau selama 7 tahun 3 bulan ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri Besar.

Tujuan maklumat tersebut adalah sekadar menunjukkan bahawa saya mempunyai “autoriti” untuk menjadi “penilai” terhadap peribadi Dato’ Ahmad Yakub. Hubungan bukan sekadar kawan, rakan sekerja malah sebagai bos. Memang keikhlasan dan kejujuran dalam diri seseorang hanya Allah yang Maha Mengetahui, namun berbekalkan “sesudu” ilmu agama dan pengalaman yang Allah kurniakan kepada saya, bolehlah dijadikan lampu suluh untuk menjejaki siapa itu Ahmad bin Yakub. Kata orang, peribadi lakonan hanya boleh bertahan beberapa ketika, lama kelamaan watak sebenar akan terserlah. Tuhan telah takdirkan persahabatan kami tidak pernah putus di tengah jalan sehingga kini. Saya yakin dengan suluhan saya kerana dalam tempoh 26 tahun berada di hadapan mata saya, beliau mampu istiqamah, mempertahankan sikap dan peribadi yang tidak meragukan saya walau pun telah menjadi pemimpin yang tinggi dalam kerjaaan dan parti. Saya percaya beliau bukan berlakon. Kalau ia hanya lakonan, tidak mungkin boleh bertahan melebihi suku abad.

Sebagai Setiausaha Sulit, mendampingi beliau bukan hanya di pejabat, tetapi hingga ke luar negara. Walau pun pengajian dan pendidikan beliau tidak setanding dengan Tok Guru, berbekalkan didikan dari Universiti Al-Azhar dan tarbiyyah di pondok ayahandanya Tok Guru Yakub di Berangan, sudah mampu mengawal peribadi beliau untuk menjadi insan yang bertaqwa dan warak. Kelapangan masa yang di manfaat dengan membaca al-Qur’an, bangkit di awal pagi untuk bertahajjud, berhati-hati terhadap makan minum dan perkara syubhah, sifat qana`ah, menghargai pandangan dan usaha orang lain, bertimbang rasa, jujur dam telus, bertolak ansur dan sanggup menerima seadanya serta segala macam sifat mahmudah yang ada pada diri beliau kelihatan di mata saya.

Jika ada kesempatan, beliau suka berbincang tentang halatuju hidup dan menghitung usia yang semakin usang. Kadang-kadang beliau meluahkan apa yang ada di hati, betapa indah dan bahagianya jika di penghujung usia begini dapat dihabiskan waktu dengan memperbanyakkan amalan fardi, serta memberi sumbangan dan membimbing masyarakat dan parti secara sukarela, bukan melalui jawatan yang tinggi. Jawatan TMB dirasakan tertinggi buat beliau dan tidak pernah terfikir yang Allah kurniakan kepadanya. Oleh kerana itu, setiap kali dikemukakan sesuatu jawatan termasuk jawatan MB, beliau menolak, lantaran merasa tahap kemampuan dirinya yang tidak ke mana. Perkara ini jika mahu, boleh disahkan dengan Tok Guru. Mungkin kita boleh tuduh bahawa beliau hanya bersendiwara, mempamirkan sikap tawaduk demi menguatkan lagi kriteria kepada Tok Guru untuk menambah markah sebagai calon terbaik. Kalau ini dijadikan hujah, maka apa lagi petunjuk yang boleh kita pakai untuk mengetahui isi hati sebenar sesaorang. Siapa yang boleh menilai keikhlasan seseorang melainkan hanya mengukur secara zahir.

Pengalaman selama lebih 7 tahun sebagai SUS Kanan, tidak kelibat di hadapan mata saya beliau menyalahgunakan kuasa bagi mengumpul kekayaan, membantu sanak saudara dan keluarga untuk mendapatkan kawasan lombong, tanah sawit, kawasan balak dan seumpamanya. Beliau tidak pernah menggunakan kuasa semata-mata untuk memberi sesuatu kelulusan, sebaliknya di bawa ke dalam mesyuarat yang memenuhi syarat-syarat teknikal jabatan untuk diluluskan. Bukan sedikit kenalan dan kawan beliau yang hampa bila mana permohonan mereka ditolak kerana tidak mendapat kelulusan mesyuarat, sedangkan sebelum itu berkali-kali mereka telah mengunjungi beliau untuk mendapatkan syafaat.

Untuk beliau over rule keputusan mesyuarat, tidak sekali-kali. Saya ingin mengajak semua pihak untuk menyiasat isteri, anak dan menantu, adik beradik dan kaum kerabat beliau, sejauh mana manfaat yang diperolehi dari kedudukan beliau selama ini, serta menyiasat terhadap pemilikan aset dan hartabenda beliau. Inilah kekuatan yang ada pada diri Dato’ Ahmad Yakub. Beliau bukan seorang tokoh pidato yang hebat, bukan pendebat yang tangkas mematah hujah, tetapi memiliki kekuatan peribadi yang disebutkan tadi. Memperolehi pengganti yang memiliki keilmuan dan ketokohan sehebat Tok Guru mungkin tidak akan diketemui di sepanjang abad ini, namun inilah aset yang ada pada diri Dato’ Ahmad Yakub, bagi menerus dan mengatur urustadbir yang baik peninggalan Tok Guru. Tanyalah mana-mana pegawai di jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dengan beliau bagi mendapat maklumat dan gambaran sebenar serta menilai Dato’ Ahmad Yakub, sepanjang beliau berada dalam pemimpin Kerajaan.

Kesimpulannya, menuduh beliau merebut jawatan MB, terlibat dengan konspirasi dan usaha “cah keting” hanyalah menempah dosa kering. Kerana saya yakin, jika hari ini pimpinan tertinggi parti mengarahkan beliau untuk meletak jawatan, dan hanya menjadi ADUN biasa, beliau akan menyambut dengan rasa syukur dan itulah yang ditunggu-tunggu.

[SHARE]

"ISLAM DIJUNJUNG, KELANTAN TERSOHOR"
::: Eksklusif Hanya Di Kelate ::::

No comments:

Post a Comment