Pakar
khas diupah buat video fitnah – Kadir KUALA LUMPUR 15 APRIL: Bekas
menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, berkata beliau
mendapat maklumat wujud pasukan khas ditubuhkan pihak tertentu untuk
membuat video fitnah bagi merosakkan
imej pemimpin politik tertentu. Pemimpin veteran Umno berkata, pasukan
khas itu terdiri daripada beberapa pakar video yang dibayar dengan upah
khas. “Saya diberitahu bahawa terdapat suatu pasukan khas yang pakar
dalam kerja-kerja video ini telah ditubuhkan, dengan mendapat pembiayaan
dan upah khas, bagi menjahanamkan imej tokoh-tokoh politik tertentu
menerusi video-video seks. “Mereka ini adalah pakar yang boleh memetik
video-video tertentu dari internet dan diadunkan sedemikian rupa agar
menyerupai imej pemimpin-pemimpin tertentu,” katanya dalam satu
kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau berkata demikian sebagai mengulas
video fitnah terbaru yang mengaitkan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa
Ali. Kadir yang juga Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan)
menyifatkan pembikinan video fitnah itu sebagai sangat jijik, kejam dan
tidak masuk akal. “Dan sekarang ini pula, yang ganjil dan pelik,
terhadap seorang yang terkenal, bersih dan kuat beragama, Datuk Mustapha
Ali,” katanya sambil menyifatkan sangat mengenali peribadi Mustafa yang
bersih, bermoral dan berprinsip tinggi sejak beliau menjadi Ketua
Pemuda PAS pada awal 70an lagi. Baliau juga yakin rakyat kini muak dan
jijik dengan pihak yang menggunakan cara tidak bermoral itu dalam kempen
menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). “Saya yakin seluruh rakyat
Malaysia mengutuk dan menjijikkan kempen politik seperti itu, dan saya
berharap ianya dapat dihentikan serta merta.
No comments:
Post a Comment