30 Apr 2013
JOHOR BAHRU: Rusuhan kaum 13 Mei berpunca dari percubaan untuk merampas
kuasa dari Tunku Abdul Rahman yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin
Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tamrin Tun Ghafar (gambar).
Anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba itu berkata,
perkara tersebut diberitahu sendiri kepada beliau dan Datuk Seri Anwar
Ibrahim oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie.
“(Menteri Dalam Negeri ketika itu) Ghazali (Shafie) memberitahu Anwar
(Ibrahim) dan saya, ketika kami berada dalam Pemuda Umno, bahawa
kejadian itu adalah percubaan kecil untuk merampas kuasa yang dirancang
pemimpin-pemimpin Umno dan Mahathir turut terlibat,” kata Tamrin dalam
ceramahnya di Gelang Patah malam tadi.
"Tunku telah menulis
dalam kolum ‘As I See It” dalam akhbar The Star, dua tahun sebelum
beliau meninggal dunia, bahawa kejadian itu adalah percubaan merampas
kuasa yang sengaja dilakukan pemimpin-pemimpin Umno yang kemudiannya
menyalahkan DAP dan Cina," katanya lagi.
Pendedahan Tamrin itu
sama dengan apa yang didapati oleh hasil kajian Pengarah Suara Rakyat
Malaysia (Suaram), Dr Kua Kia Soong tentang peristiwa berdarah 13 Mei
itu.
Menurut Dr Kua, peristiwa 13 Mei adalah akibat dari
percubaan merampas kuasa dari Tunku yang dilakukan oleh Timbalan Perdana
Menteri pada masa itu, Tun Abdul Razak Hussein yang turut disokong oleh
Dr Mahathir.
Tamrin seterusnya menceritakan, Tunku telah
mengusir Dr Mahathir dari Umno kerana menulis surat menuntut Tunku
meletak jawatan selepas rusuhan itu.
"Selepas Tunku berundur
dan Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, dia membawa Dr
Mahathir masuk Umno semula dan melantiknya sebagai Menteri Pelajaran.
"Perkara itu menunjukkan Razak terhutang budi kepada Dr Mahathir
(kerana menuntut Tunku berundur)," kata beliau sambil menambah Lim Kit
Siang tidak ada di Kuala Lumpur ketika rusuhan itu berlaku.
Tamrin berkata, tindakan Umno menakut-nakutkan orang Melayu dengan peristiwa 13 Mei membuktikan parti itu begitu terdesak kini.
No comments:
Post a Comment