Thursday, 2 May 2013

PRU


SUDUT PANDANG POLITIK TANAH AIR DARI PERSEPKTIF AHLI AKEDEMIK !!!

PROF Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff ..pensyarah sains politik dan selain tokoh akademik, beliau lebih dikenali sebagai penganalisis politik.


'ONE-OFF' HANYA GULA- GUL
A SEMENTARA.

Menerima pakai idea pembangkang untuk memberikan bantuan kepada rakyat adalah sesuatu yang baik. Sekurang-kurangnya kerajaan bersedia untuk melaksanakan apa juga idea pembangkang yang baik untuk kesejahteraan rakyat.


Persoalannya bukan itu pada saya. Yang penting dijawab ialah sejauh manakah idea pembangkang itu baik? Dan sejauh manakah bantuan 'one-off' itu memberi kesan positif pada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat?


Saya harus nyatakan tawaran mana-mana parti yang berbentuk 'one-off' itu hanya sekadar gula-gula sementara kepada rakyat bagi mendapat sokongan dalam pilihan raya. Langkah PR yang menjanjikan banyak ‘barang percuma’ sekiranya memerintah dan selepas itu cuba diikuti rapat oleh BN bukanlah dasar ekonomi yang baik.


Saya kira dasar seperti itu tidak adil pada ekonomi negara yang memerlukan banyak wang untuk membayar hutang luar dan menyediakan pembangunan fizikal kepada rakyat.


Saya harap selepas PRU13 nanti, dasar ekonomi negara dan sistem percukaian negara perlu disusun semula supaya kerajaan boleh berlaku adil kepada semuanya sama ada kepada rakyat mahupun ekonomi negara.


Terakhir yang perlu saya jawab ialah sejauh manakah bantuan di atas mempengaruhi sokongan pengundi? Saya tidak nampak memberikan kesan yang signifikan. Rakyat tidak lagi ghairah dengan bantuan tersebut sehingga ada yang sudah menganggap itu sebagai tanggungjawab kerajaan untuk memberikannya.


Rakyat yang tidak menyokong kerajaan juga sudah diberitahu supaya ambil sahaja bantuan yang diberi kerajaan, tetapi undi jangan bagi. Kesedaran politik rakyat kita sudah semakin banyak berubah.



POLITIK SAMSENG!!


Rakyat tanpa mengira dari parti apa pun tidak boleh menerima politik samseng. Jadi, bagi mana-mana parti yang menggunakan taktik ini, yakinilah itu bukannya yang rakyat mahu.


Oleh itu, harapnya kita sama-samalah meraikan perbezaan parti dan pendapat dengan penuh semangat demokrasi. Buat apa takut pada parti lawan sehingga perlu kepada politik samseng? Saya tidak nampak relevannya sikap seperti ini untuk mendapatkan undi rakyat.



POLITIK MENGHALALKAN CARA UNTUK MENCAPAI MATLAMAT.


Isu hudud, isu kalimah ALLAH, isu cincin, isu rasuah, isu Teoh Beng Hock, isu air di Lembah Klang dan Kelantan dan apa juga isu yang boleh dipolitikkan akan digunakan sampai ke tahap maksimum untuk mempengaruhi rakyat dalam kempen pilihan raya nanti.


Ini kerana isu adalah sentimen yang boleh mempengaruhi pemikiran pengundi. Saya tidak ada masalah dengan penggunaan isu-isu dalam kempen politik, tetapi masalahnya ialah apabila ada isu yang digunakan itu adalah bersifat peribadi dan mengaibkan. Inilah yang tidak baiknya sehingga menampakkan sikap politik kita yang jauh dari matang.


KEBEBASAN BERSUARA MENERUSI MEDIA ARUS PERDANA


Saya tidak lihat pembangkang mempunyai peluang untuk mendapat liputan berita yang baik dalam media perdana di negara kita. Sebab itulah ramai sarjana mengatakan pilihan raya di negara kita ini bebas tetapi tidak adil.


Bebas kerana kita adakan pilihan raya secara berkala apabila tiba masanya dan kita boleh terlibat dalam politik tanpa banyak gangguan, tetapi tidak adil kerana media massa perdana dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan.


Mujurnya, bagi mengimbangi penguasaan media perdana kerajaan, wujud media alternatif yang membolehkan parti pembangkang turut bermain ‘politik dalam ruangan.


PEMBANGKANG MEMPAMERKAN KUALITI PERDEBATAN


Pembangkang memainkan peranan yang efektif di Parlimen dan Dun (jika di Dun, ini termasuklah peranan wakil rakyat BN sebagai pembangkang di negeri yang dikuasai oleh PR). Mereka banyak menimbulkan isu-isu substantif yang wajar diberi perhatian oleh rakyat dan juga kerajaan. Tindakan mereka di Parlimen dan Dun, suka atau tidak suka telah membuatkan rakyat kita celik politik hari ini.


Masalahnya adalah dari segi masa perbahasan yang singkat. Masalahnya adalah dari segi mutu perbahasan sesetengah ahli parlimen yang menjadikan Parlimen seperti pasar ikan atau pasar malam. Harus diingat, yang menjadikan sidang Parlimen itu kecoh bukan hanya dari parti pembangkang sahaja, tetapi juga di pihak kerajaan. Ada ketikanya mencelah tanpa izin, ada ketikanya tidak ikut peraturan Dewan, ada ketikanya menggunakan 'point of order' di tempat yang tidak betul.


Tapi keseluruhannya, saya lihat Parlimen kita lebih segar dengan adanya pembangkang yang kuat. Cuma yang perlu kita fikirkan ialah bagaimana hendak munculkan pembangkang yang sihat?



LANDSKAP POLITIK MASA MASA KINI.


Politik kita masih di takuk lama. Di kala dunia bercakap tentang keterbukaan, politik kita masih lagi dipenuhi dengan fitnah memfitnah, caci memaki, benci membenci dan keengganan elit politik untuk berubah. Kempen mereka masih lagi dengan tawaran lama, tanpa ada satu tawaran baru yang lebih menarik. Ini saya lihat kekurangan utama yang ada pemimpin BN khususnya, mungkin kerana sudah cukup selesa setelah sekian lama berada di tampuk kuasa.


Selain itu, di kala kita bercakap tentang hak-hak asasi rakyat, pemimpin kita meminda undang-undang tetapi di akhirnya tidak banyak pun perubahan substantif yang dibuat ke atas undang-undang tersebut. Ia sekadar menukar minuman lama ke dalam botol baru sahaja.


Begitu juga dengan pemimpin pembangkang, banyak juga yang masih belum selesai dari segi tingkah laku mereka. Apabila berceramah, mereka akan menimbulkan kebencian dan menyumpah seranah orang. Ini bukan jiwa seorang pemimpin yang besar. Bercakap juga dengan modal idea yang tidak berkembang dengan isu-isu lama yang sudah luput.


Pendekatan politik Datuk Saifuddin Abdullah luar biasa pada saya. Jiwa besar beliau yang memahami aspirasi generasi kini akan menjadikan beliau relevan dalam politik negara dan beliau berada dalam kelasnya yang tersendiri. Semoganya selepas PRU13 nanti akan muncul ramai pemimpin seperti Datuk Saifuddin Abdullah dalam pentas politik negara.



P/S: BERFIKIR LAH KITA.... MENCARI HAKIKAT KEBENARAN:!!!..

INI KALI LAH - KITA UBAH.

No comments:

Post a Comment