Thursday, 7 March 2013

tuduh orang pengkhianat


PAS: Bahaya tuduh orang lain pengkhianat
March 7, 2013

Seluruh rakyat Malaysia, termasuklah mereka dari keturunan Sulu yang menjadi warga negara Malaysia, mesti menumpahkan taat setia kepada Malaysia.

PETALING JAYA: PAS percaya tindakan mana-mana pihak mengelar rakyat Malaysia yang lain sebagai pengkhianat atau musuh dalam selimut boleh mencetuskan hubungan kaum menimbulkan masalah baru kepada negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum termasuklah mereka dari keturunan Sulu yang menjadi warga negara Malaysia itu akan menumpahkan taat setia kepada Malaysia.

Beliau dalam kenyataan media semalam, mengulangi bahawa betapa bahayanya negara ini jika kita meletakkan masa depan negara di tangan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama lebih 50 tahun ini.

Katanya, pendedahan demi pendedahan terhadap wujudnya kelemahan wibawa kepimpinan negara dalam menguruskan isu tuntutan serta menyelesaikan punca masalah (root–cause) krisis ini dari mula berputik sehingga menjadi satu tragedi.

PAS kata Hadi mengambil berat dan memantau dengan serius perkembangan isu pencerobohan yang berlaku di Sabah kerana ia berkaitan dengan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.

Kehilangan nyawa anggota keselamatan yang menjalankan tugas secara professional menjaga keselamatan negara ini pula tentulah akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai satu pengorbanan yang teramat tinggi nilainya.

Beliau menambah, PAS juga berpendirian dalam situasi keselamatan rakyat Malaysia sama ada dari kalangan pasukan keselamatan yang sedang bertugas dan rakyat keseluruhan perlu menjadi keutamaan, bukannya mempertikaikan kesetiaan mana-mana pihak terhadap negara.

PAS tubuh jawatankuasa

PAS dalam mesyuarat lajnah politik dan pilihan raya hari ini (semalam) telah menubuhkan jawatankuasa bertindak kedaulatan, keselamatan negara dan rakyat.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Pengerusi Datuk Fauzi Shaari (mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Di Raja Malaysia, Bukit Aman) dan akan dianggotai oleh tokoh-tokoh dari kalangan bekas-bekas pegawai tinggi polis dan tentera, mantan pegawai-pegawai kerajaan dan veteran politik.

Jawatankuasa ini berperanan utama untuk meneliti, menilai dan membuat cadangan terhadap isu-isu kedaulatan dan keselamatan negara serta rakyat setelah kita melihat kegagalan dan kelemahan ketara di pihak kerajaan pimpinan BN yang ada ini.

PAS juga mengalu-alukan langkah pro-aktif Dewan Pemuda PAS yang mewujudkan tabung khusus bagi membantu keluarga anggota keselamatan yang ditimpa musibah ini, dan saya meminta agar setiap ahli PAS di seluruh negara turut sama memberikan sumbangan sekurang-kurangnya seringgit bagi setiap orang sebagai satu amal kebajikan.

Akhir sekali, PAS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya mempertingkatkan iltizam kita untuk mempertahankan kedaulatan negara dan terus memupuk semangat perpaduan bagi mengelakkan ketegangan kaum yang boleh timbul akibat isu pencerobohan ini.

Rakyat Malaysia keseluruhannya mesti menghindari provokasi mana-mana pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ untuk meraih kepentingan mereka yang sempit dan mengutamakan solidariti rakyat Malaysia di saat-saat genting seperti ini.

No comments:

Post a Comment