![]() |
NABI
Muhammad SAW diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam.
Kelahiran baginda adalah untuk membawa sinar cahaya agar dapat
mengeluarkan manusia daripada kegelapan. Baginda bukan sahaja dianggap
sebagai penyelamat manusia daripada kemalapan duniawi seperti
kemiskinan, persengketaan dan kesengsaraan semata-mata.
Namun, apa
yang lebih penting, baginda memberikan petunjuk agar manusia dapat
memilih jalan kebahagiaan, bukan jalan yang mencampakkan diri mereka ke
neraka Jahanam.
Betapa
ajaran Nabi Muhammad SAW itu terlalu penting untuk manusia, maka setiap
kali baginda diancam dan digugat, Allah SWT akan memelihara dan
memberikan perlindungan. Perlindungan-Nya itu kadang-kala datang dalam
bentuk mukjizat.
Perlindungan
Allah SWT juga datang dalam bentuk yang tidak dapat dilihat iaitu;
membantu baginda dalam membuat keputusan, dalam bentuk suntikan semangat
dan motivasi kepada baginda agar terus bersemangat dalam menempuh
segala rintangan yang tidak pernah bertepi.
Allah SWT
juga memberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan dengan adanya
isteri-isteri serta para sahabat yang setia dan wala' kepada arahan
baginda. Merekalah yang banyak membantu sehingga menghasilkan kejayaan
dakwah selama 23 tahun dalam arenanya yang tersendiri.
Pun begitu,
ini bukanlah bermaksud kejayaan dakwah Rasulullah SAW bergantung kepada
bantuan manusia. Buktinya ketika Nabi SAW kehilangan selamanya isteri
iaitu Khadijah ra dan bapa saudara, Abu Thalib. Walaupun kedua-dua insan
ini amat penting dalam kehidupan baginda, namun dakwah yang dibawa
tidak pernah terhenti.
Perjuangan
Islam diteruskan dengan pergantungan penuh kepada-Nya. Kematian Khadijah
dan Abu Thalib sekali gus menangkis tohmahan golongan orientalis dan
musuh-musuh Islam yang mendakwa kejayaan dakwah baginda bergantung
kepada manusia.
Namun,
hakikatnya adalah keputusan daripada Allah SWT untuk membuktikan kepada
manusia akan kekuasaan Allah SWT yang berkuasa menentukan kejayaan
kepada Rasulullah SAW tanpa ada sebarang makhluk pun yang dapat
menghalang-Nya.
Perjalanan
dakwah Nabi SAW sebenarnya melalui beberapa peringkat. Pada setiap
peringkat mempunyai cabaran dan rintangannya yang tersendiri. Di sinilah
Nabi SAW dan para sahabat diuji kebenaran iman yang mereka ikrarkan,
sama ada hanya di mulut ataupun kukuh di hati sanubari.
Pada peringkat awal, Nabi SAW dididik dan ditarbiah oleh Allah SWT sehingga umur baginda mencecah 40 tahun.
Semasa
kecil, Nabi SAW diuji dengan hidup sebagai anak yatim. Baginda
dipelihara oleh datuknya, Abdul Muthalib dan kemudiannya oleh bapa
saudaranya, Abu Thalib.
Baginda
pernah dibawa untuk berniaga di Syam dan beberapa tempat lain.
Kemuncaknya,Nabi SAW telah dipilih untuk meletakkan Hajarul Aswad oleh
pembesar-pembesar Quraisy. Semuanya adalah proses pentarbiahan yang
telah disusun oleh Allah SWT sebelum baginda menerima pelantikan
kerasulan.
Peringkat
pertama ini memberikan gambaran kepada kita bahawa untuk menjadi
pendakwah yang hebat dan berjaya perlu bermula dengan diri kita sendiri.
Jangan terlalu sibuk dengan program-program dakwah dan tarbiah sehingga
melupakan diri kita sendiri. Allah SWT menempelak golongan yang
menyuruh orang lain berbuat kebaikan, namun mengecualikan dirinya
sendiri daripada kebaikan tersebut. (rujuk al-Baqarah: 44 dan
al-Muddatthir: 1-2)
Bertitik
tolak daripada ayat ini, maka dakwah baginda bermula dengan keluarga
terdekat dan sahabat-handai. Ini satu strategi berkesan kerana biasanya
keluarga dan sahabat sudah mempunyai persefahaman dengan kita. (rujuk
asy-Syu'ara': 214)
Peringkat
ini memberikan kita pengajaran bahawa menjadi tanggungjawab yang perlu
diutamakan untuk kita berdakwah kepada orang-orang yang rapat dengan
kita seperti pasangan, adik-beradik, anak-anak dan sahabat-sahabat
terdekat. Jangan terlalu sibuk memikirkan orang lain sehingga keluarga
sendiri terabai.
No comments:
Post a Comment