
Sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang, PKR menjangkakan rakyat akan membayar tarif elektrik yang lebih tinggi sehingga kadar 41 peratus dalam tempoh empat tahun akan datang.
Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen berkata, melalui pelan rasionalisasi subsidi PEMANDU untuk meningkatkan kadar tarif elektrik setiap enam bulan selama lima tahun, pengguna yang kini membayar kadar purata sekitar RM0.33 sen /kWj, akan membayar sehingga kadar mencecah RM0.46 sen /kWj.
Rakyat akan sengsara dengan kenaikan 41 peratus kadar bil elektrik bagi tempoh empat tahun seterusnya,” kata Wong, serta menambah kenaikan pertama tarif elektrik sudah pun dilaksanakan pada Jun tahun lalu.
Jelas beliau, melalui cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk menyemak
semula kadar pulangan atas pelaburan (ROI) untuk Pembekal Kuasa Bebas
(IPP) pada kadar purata 10 peratus berbanding 19 peratus sekarang,
Tenaga Nasional Berhad (TNB) mampu untuk menjimatkan bayaran kapasiti
sebanyak RM2.6 bilion setahun.
“Kadar 10 peratus ini adalah penanda aras global yang digunakan di
peringkat antarabangsa, malah PR juga akan menguruskan rizab margin pada
kadar optimal 20 peratus, berbanding sekarang, 38 peratus.
“Bagi setiap 1 peratus, sejumlah RM483 juta hilang sebagai pelaburan
terkandas, oleh itu pengurangan 18 peratus rizab margin dapat
menjimatkan pelaburan terkandas sebanyak RM8.7 bilion, dan dengan
bayaran kapasiti 10 peratus ROI, TNB dapat jimat sebanyak RM870 juta
setahun.
“Dengan merundingkan semula IPP pada kadar 10 peratus (RM2.6 bilion)
dan mengurangkan rizab margin kepada 20 peratus (RM870 juta),
keseluruhan penjimatan TNB adalah RM3.47 bilion setahun,” katanya
ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.
Menurut Wong lagi, purata keuntungan TNB sekarang adalah RM2.14 bilion,
dan melalui penjimatan bayaran IPP sebanyak RM3.47 bilion, TNB akan
memperolehi keuntungan mencecah RM5.61 bilion setahun.
“Keuntungan yang tinggi ini akan mampu mengurangkan hutang TNB … dan
yang paling penting, dengan keuntungan tinggi ini TNB tidak lagi perlu
meningkatkan tarif elektrik yang akan membebankan pengguna,” katanya.
Beliau turut menjanjikan kerajaan PR akan memberikan jaminan, sekiranya
pakatan pembangkang itu berjaya menawan Putrajaya selepas PRU13, 10
peratus saham TNB yang dimiliki Khazanah akan dipertimbangkan untuk
dijual kepada kesemua 30,000 pekerja TNB.
“Ini adalah sebahagian daripada dasar ekonomi “management buy-out” kita
untuk mewujudkan kelas menengah pengurus-pemilik dan juga mengurangkan
penglibatan kerajaan di sektor swasta,” katanya lagi.
Beliau sebelum ini mendakwa, keluarga bekas Perdana Menteri Tun
Abdullah Ahmad Badawi terlibat dalam pembekalan meter melalui program
penggantian meter analog kepada elektronik TNB, apabila syarikat milik
Noor Asiah Mahmood, adik kepada isteri pertama Abdullah, Allahyarhmah
Tun Endon Mahmood, memiliki 15 peratus pegangan saham dalam Malaysian
Intelligence Meters Sdn Bhd, salah sebuah daripada lima syarikat yang
membekalkan meter elektronik tersebut kepada TNB.
Wong turut berkata, program yang dihentikan sementara waktu atas arahan
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air (KeeTha) Datuk Seri Peter
Chin Fah Kui pada Oktober lalu menunjukkan pengguna akan membayar
sebanyak RM6.88 bilion kepada keuntungan TNB dalam tempoh 10 tahun.
No comments:
Post a Comment