Al-Quran itu untuk dakwah. Mari kita alihkan pandangan kepada nilai dakwah kepada Al-Quran. Jika kita meneliti Al-Quran, kita akan dapati dalamnya sangat banyak rahsia-rahsia ilmu, dan hikmah-hikmah Allah yang terkandung, yang sehingga kini kita belum mampu singkapi kesemuanya.
Kisah-kisah generasi sebelum ini, sunnah kehidupan, kejadian alam yang belum tersingkap, kejadian hari Kiamat, kisah-kisah di syurga dan neraka dan banyak lagi isi kandungan yang sangat mengghairahkan ahli akademik untuk mengkaji satu persatu mengenai kandungan kitab suci itu.
Namun dalam sibuk pencarian kita secara ilmiah terhadap isi kandungan Al-Quran, dalam sibuk kita menghafaz Al-Quran dengan berbagai-bagai cara bacaan, kebanyakan manusia terlupa suatu perkara penting yang selalu diulang-ulang dalam Al-Quran ;
“Ia tidak lain hanyalah sebagai peringatan kepada seluruh alam” – Surah Saad
“Ia bukanlah melainkan peringatan kepada seluruh alam” – Surah At-Takwir
“Ia tidak lain hanyalah peringatan kepada manusia” – Surah Al-Muddatsir
“Dan sesungguhnya ia adalah yang diturunkan oleh Tuhan sekalian alam, yang diturunkan melalui Roh yang jujur (Jibril), ke atas hatimu agar engkau menjadi di kalangan orang-orang yang memberikan peringatan, (ia diturunkan) dengan lisan Arab yang nyata” – Surah Asy-Syu’araa
“Sesungguhnya ini hanyalah peringatan, dan sesiapa yang kehendaki, dia akan mencari jalan bertemu Tuhannya” – Surah Al-Muzzammil & Surah Al-Insan
Hakikat tujuan Al-Quran ini kurang difahami dan dihayati oleh manusia kini. Tidakkah kita perhatikan bahawa Al-Quran itu hanya turun selepas Muhammad S.A.W itu dilantik menjadi Rasul ? Tidakkah kita perhatikan ayat ini ;
“Dan setiap yang Kami kisahkan padamu (wahai Muhammad) daripada kisah-kisah rasul sebelum ini adalah untuk menetapkan jiwamu, dan dari pada kisah-kisah itulah akan datangnya kepadamu kebenaran, dan nasihat serta peringatan untuk orang mukminin” – Surah Hud
Benarlah Al-Quran, kehebatannya akan sentiasa melahirkan rijal-rijal dakwah yang memikul risalah. Kehebatannya itu adalah pada tujuan diturunkannya, iaitu dakwah. Tanpa kewujudan kepentingan dakwah ini, sudah pasti Al-Quran tidak akan diturunkan kepada manusia, dan sudah pasti para rasul tidak diutuskan dan mengajarkan kepada manusia segala hakikat kehidupan dan syariat.
No comments:
Post a Comment